Events Calendar

Download as iCal file
Menimba ilmu daripada Sasterawan Negara Malaysia Ke-14
Sunday 26 September 2021, 08:00am - 05:00pm
Hits : 193
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
profzainon-min.png

Kesusasteraan tidak dapat dipisahkan dengan manusia dan masyarakat. Sastera hidup kerana adanya hubungan ini. Baru-baru ini, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY), dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Syarahan Perdana Sasterawan Negara 2021 yang bertajuk “Warisan Budaya dan Perubahan Nilai Kemasyarakatan: Cerpen Semasa Sarawak”.

Kita bertuah dapat mendengar Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, berkongsi ilmu dalam bidang sastera. Syarahan tersebut dimulakan dengan biodata Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail oleh Yang Berbahagia Encik Abang Haliman Julai iaitu Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak yang merupakan moderator bagi syarahan ini.

Program ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS dan dihadiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor.

Sasterawan Negara Malaysia yang ke-14

Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan Melayu, kebudayaan Melayu, dan kesenian Melayu di rantau Asia dan di dunia. Pengalaman awal beliau dalam bidang lukisan dan seni halus banyak membawa beliau merentasi bidang lain seperti pendidikan, penulisan puisi, novel, cerpen, cerita kanak-kanak, budaya, dan kesenian. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan tiga buah novel, 19 buah kumpulan cerpen, 20 buah buku kajian, dan 25 buah puisi. Sebahagian besarnya masih diulang cetak dan dijadikan rujukan pelbagai pihak. Karya beliau turut diterjemahkan kepada pelbagai bahasa seperti Bulgaria, Hindi, English, Jepun, Perancis, Korea, Urdu, Thailand, dan Russia.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu

Beberapa soalan sempat dikemukakan oleh para penonton syarahan perdana ini. Antara yang menarik ialah seandainya kita berkomunikasi dengan menggunakan dialek kita sendiri, sebagai contoh dialek Melayu Sarawak, adakah kita menyokong dalam memperkasakan Bahasa Melayu walaupun ia merupakan bahasa yang tidak sama dengan bahasa Melayu standard? Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail berpendapat bahawa menggunakan dialek dalam komunikasi seharian adalah digalakkan kerana dialek merupakan ibunda kita dan dialek yang digunakan adalah sama jika orang tersebut berasal dari daerah yang sama. Malah, orang-orang dari luar negara juga akan tertarik daripada dialek-dialek yang ada di Malaysia seperti dialek Kelantan.

Selain itu, terdapat juga soalan daripada Tuan Haji Valentino iaitu wakil dari Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY). Beliau bertanya apakah pesanan kepada mahasiswa, warga UNIMAS, dan penulis yang mula menulis supaya mereka memiliki acuan sendiri. Jawapan Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, “Tulislah apa sahaja dengan mengikut pengalaman anda kerana etika dan budaya identiti masing-masing berlainan dan menulis mengikut pengalaman kita merupakan salah satu cara yang baik untuk mengenalkna keturunan kita”.

Dr Zuraini Seruji dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi seterusnya bertanya soalan yang berkaitan dengan pendidikan. Beliau ingin tahu apakah impak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diajar di sekolah beberapa tahun yang lalu terhadap Bahasa Melayu. Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail berpendapat yang sistem bahasa ini tidak sepatutnya diaplikasikan ke atas pelajar sahaja tetapi juga ke atas pemimpin-pemimpin.

Sastera dan kita

Secara kesimpulannya, sastera dianggap sebagai satu elemen untuk menyampaikan buah fikiran. Buah fikiran tidak akan sempurna sekiranya sastera tidak ditanam dalam jiwa perasaan kita. Bukan itu sahaja, ramai tokoh menggunakan teks sastera untuk menampilkan watak-watak dan kisah-kisah sejarah. Sesungguhnya, seorang penulis bukan sekadar berkongsi kesedaran jiwa dengan masyarakatnya. Ini juga merupakan anugerah. Semestinya, sastera juga tidak terpisah dengan ilmu dunia  dan ilmu akhirat.

 
Attachment(s):
 
 
Demo