Events Calendar

Download as iCal file
672 pelajar Program Asasi Sains angkat ikrar secara maya
Friday 06 August 2021, 04:30pm
Hits : 1028
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
d63c6e87-5fbd-4492-b378-dc8d6e5498b1.jpg

e47b18b0 ea1c 4e63 b3cc b1392f0fb582d63c6e87 5fbd 4492 b378 dc8d6e5498b1

Kota Samarahan, 6 Ogos 2021 : Seramai 672 pelajar baharu UNIMAS bagi Program Asasi Sains bagi sesi 2021/2022, telah menyempurnakan ikrar pelajar dalam satu majlis ringkas yang diadakan secara maya, hari ini, sempena Minggu Aluan Pelajar (MAP) bagi Sesi Akademik 2021/2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Ogos 2021 sehingga 6 Ogos 2021.

Majlis ikrar pelajar tersebut telah disaksikan bersama oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan-timbalan dan Penolong Naib Canselor, Dekan-dekan, Pengarah-pengarah Universiti, pensyarah dan kakitangan UNIMAS.

Bagi ambilan kohort ke-12 ini, PPPU telah menawarkan tiga program akademik iaitu Program Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal dan Program International Foundation in Science (IFS) kepada calon-calon lepasan SPM yang memenuhi kelayakan minima program.

Daripada jumlah pelajar baharu sesi kali ini, 262 pelajar adalah dari Program Sains Fizikal, 381 pelajar dari Program Sains Hayat dan 29 pelajar Program IFS UNIMAS.

Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi mengucapkan tahniah kepada para pelajar baharu kerana bertuah terpilih daripada ribuan calon yang telah memohon untuk kemasukan ke Program Asasi Sains UNIMAS bagi sesi yang ke-12 dan juga yang telah memohon ke Program IFS UNIMAS untuk pengambilan kali yang ke-empat ini.

Naib Canselor turut menasihati para pelajar supaya melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran asas seperti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang datang, walaupun secara tiba-tiba, untuk memastikan kejayaan dapat dicapai dengan cemerlang.

Beliau menjelaskan kejayaan pelajar-pelajar kohort lepas dengan pencapaian cemerlang mereka dalam akademik walaupun terpaksa menghadapi satu situasi di luar dugaan yang berlaku secara tiba-tiba adalah bukti dan panduan yang baik harus diteladani oleh pelajar baharu.

Sebagai contoh, jelas beliau, seramai 613 pelajar kohort pelajar PPPU semester 2 sesi 2019/2020 berjaya menamatkan pengajian mereka meskipun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan buat pertama kali manakala 882 kohort pelajar sesi 2020/2021 menamatkan pengajian semasa negara giat menjalankan Program Imunisasi Covid-19.

“ Inilah satu pengalaman dan kemahiran yang sangat bermakna yang akan digunapakai kelak sekiranya berhadapan dengan sesuatu di luar jangkaan. Inilah yang ingin dilahirkan oleh UNIMAS, mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menghadapi dan menangani cabaran pada masa akan datang terutama ketika suasana pasaran pekerjaan yang tidak menentu dan mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor menjelaskan program IFS merupakan program baharu PPPU yang ditawarkan pada tahun 2018 yang memberi peluang kepada pelajar- pelajar dari pelbagai latar belakang untuk mengikuti pengajian asas sains di UNIMAS.

“ Penawaran program asasi ini merupakan satu usaha oleh pihak UNIMAS untuk menyebarluaskan ilmu berteraskan sains kepada semua lapisan masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan golongan teknokrat di negara kita,” tambahnya lagi.

Katanya, program asasi sains hayat dan sains fizikal telah dianugerahkan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2018 diikuti oleh program IFS yang mendapat akreditasi penuh pada tahun 2020 lepas.

Ini katanya, telah membuktikan bahawa PPPU UNIMAS berupaya menjadi satu institusi ilmu yang mempunyai peranan penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang, baik dari aspek teori mahupun praktikal.

 
Attachment(s):
 
 
Demo