Events Calendar

Download as iCal file
Pengguna cakna di era digital : 97 penuntut IPTA Sarawak sertai Program Advokasi Kepenggunaan
Wednesday 16 December 2020, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1166
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
FSKPM1.jpeg

FSKPM2FSKPM3

Kota Samarahan, 16 Disember 2020 – Seramai 97 orang penuntut daripada lapan buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Sarawak telah menyertai Program Advokasi Kepenggunaan” dengan tema “Pengguna Cakna di Era Digital, secara atas talian, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Pengguna dan Ekonomi Keluarga Malaysia (MACFEA), Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sarawak.

Antara IPTA yang terlibat ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UiTM Mukah, UiTM Samarahan 1, UiTM Samarahan 2, Politeknik Kuching, Politeknik Mukah, Politeknik Metro Betong dan Kolej Komuniti Kuching.

Pegawai Tadbir dan Diplomatik KPDNHEP Sarawak, Encik Mohammad Dzulkiflie Pathi selaku penceramah jemputan berkata, individu yang berminat untuk menjalankan perniagaan di laman web harus mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan terlebih dahulu.

Beliau berkata, antaranya ialah memaparkan nama penjual/syarikat, harga produk/servis, nombor pendaftaran perniagaan, maklumat untuk dihubungi, keterangan produk, kaedah pembayaran, terma dan syarat pembelian dan anggaran masa penghantaran produk/servis.

Beliau turut berkongsi beberapa tips semasa melakukan pembelian atas talian, iaitu membuat perbandingan harga, menyemak maklumat peniaga, menyemak testimoni, memilih laman web yang dipercayai, mengambil kira kos sampingan, mendapatkan butiran peribadi pembekal dan kaedah pembayaran, menyemak terma dan syarat dan menyimpan bukti pembelian.

Manakala Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Tuan Mogan a/l Arumugam berkata sememangnya pihak mereka sentiasa memantau segala transaksi yang berdaftar di bawah Kementerian berkenaan.

Jelas beliau, pelbagai kes telah dikongsi oleh panel dan hampir 10,000 laporan telah diterima oleh KPDNHEP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan perniagaan atas talian.

“Kementerian turut menasihati para mahasiswa untuk sentiasa berhati-hati dalam segala urusan perniagaan atas talian dan sebarang aduan pengguna boleh dibuat menerusi Whatsapp, laman sesawang atau ke kaunter KPDNHEP yang berhampiran.

“Pendek kata, kementerian berharap masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan sedar akan tindakan apa yang dilaksanakan sepanjang melakukan transaksi atas talian,” sambung beliau lagi yang turut dibantu oleh Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Puan Mastura binti Haji Arifin.

Pengarah program, Profesor Madya Dr. Surena Sabil pula berharap program tersebut mampu menjadi medium untuk memberi pendedahan tentang advokasi penggunaan digital kepada pelajar-pelajar IPTA di Sarawak dan melahirkan “pengguna cakna di era digital”.

Ianya bertepatan dengan tema program iaitu “Pengunaan Media Sosial dan Transaksi Atas Talian (e-dagang)” dan juga forum “Perlindungan Pengguna dalam Era Digital”.

Dalam pada itu, objektif program tersebut adalah untuk memberi pengetahuan tentang maklumat berkenaan pengaruh media sosial dan kesan penipuan atas talian dan memberi pendedahan mengenai undang-undang, akta, tatacara aduan dan sebagainya serta maklumat mengenai faktor-faktor penyumbang kepada kes yang berlaku dan modus operandi yang dilakukan.

 
Attachment(s):
 
 
Demo