Events Calendar

Download as iCal file
Hala tuju Universiti di Malaysia menangani kesan pandemik Covid-19
Wednesday 26 August 2020, 04:00pm - 05:00pm
Hits : 409
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Capture.JPG

KOTA SAMARAHAN, 26 Ogos 2020 : Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menjelaskan kebolehpasaran graduan di UNIMAS pernah mencapai 92 peratus iaitu pada tahun lepas.

“ Kadar ini menunjukkan bahawa graduan kita sememangnya dihargai dan mendapat tempat pekerjaan di kalangan majikan-majikan di luar sana,” kata beliau sebagai salah seorang panel jemputan dalam forum anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi tengahari tadi.

Bagaimanapun Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim tidak menolak terdapat cabaran untuk mencapai peratusan kebolehpasaran yang tinggi atau mengekalkannya disebabkan peluang pekerjaan adalah tidak sebanyak di negeri lain seperti Johor dan Pulau Pinang.

Walaupun begitu, kata beliau, dari segi pembangunan dan reka bentuk kurikulum tetap diberi perhatian terutama berkaitan peningkatan kompetensi dan kemahiran pelajar Universiti, supaya ianya sejajar dengan keperluan atau kehendak pasaran pekerjaan.

“ Graduan kita sememangnya bersedia di luar sana malah mereka telah membuktikan kemahiran diri mereka cuma isu atau cabaran yang perlu dihadapi adalah mengenai sama ada terdapat peluang pekerjaan untuk mereka di kemudian hari,” katanya lagi.

Selain itu, kata beliau, tenaga pengajar seperti para pensyarah juga sememangnya mempunyai kepakaran tertentu dari segi penyelidikan masing-masing malah sebahagian mereka telah menjadi penasihat atau memberi konsultasi kepada syarikat-syarikat.

“ Mereka (pensyarah) kebanyakkan bertindak sebagai penasihat kepada syarikat-syarikat, itu sememangnya fokus mereka dan bukanlah bermaksud mereka mencari pekerjaan di syarikat-syarikat berkenaan. Malah, syarikat-syarikat juga mempunyai polisi atau keutamaan untuk mengambil pekerja dari latar belakang kemahiran berbeza dan kerana itu, kita lihat selain graduan tempatan, syarikat-syarikat juga mengambil pakar dari luar negara untuk bekerja dengan mereka. Ia sebenarnya baik untuk pembangunan syarikat itu sendiri kerana terdapat kepelbagaian kepakaran disitu,” katanya lagi.

Selain itu, Naib Canselor UNIMAS turut berkongsi pendapat mengenai cabaran penurunan jumlah pelajar yang berminat di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat sekolah mahupun Institusi Pengajian Tinggi.

Beliau menambah, kegagalan memenuhi hasrat sasaran untuk melahirkan 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus pelajar aliran sastera sudah tentunya akan memberi kesan kepada Universiti seperti pengosongan banyak tempat bagi peluang pengajian dalam program-program kejuruteraan atau program sains komputer.

“ Ia merupakan masalah nyata yang mungkin akan lebih meruncing pada masa hadapan jika tidak ada intervensi awal dilakukan. Tapi kita amat bersyukur kerana di Sarawak contohnya, Kerajaan Negeri telah membuat pelaburan tinggi dengan membina makmal pembelajaran STEM di beberapa buah sekolah.

“Malahan, UNIMAS telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam hal ini dengan sasaran sekurang-kurangnya dalam setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibinakan dua makmal pembelajaran STEM secara berperingkat. Ini semua dilakukan kerana Kerajaan Negeri percaya ia adalah untuk kepentingan anak bangsa serta sebagai cara memastikan Sarawak akan maju sebagai negeri perindustrian,” sambungnya lagi.

Dalam isu lain, Naib Canselor UNIMAS berkata kejayaan IPT di Malaysia seperti UNIMAS yang berjaya menempatkan diri sebagai Universiti terbaik di dunia dalam ‘Time Higher Education (THE)’ dan ‘QS World Rankings’ membuktikan bahawa pendidikan di Malaysia berada di tahap dan kualiti terbaik setanding dengan Universiti terbaik di luar negara.

“ Saya rasa Universiti di Malaysia sememangnya telah menawarkan kualiti pendidikan yang baik dan telah membantu menarik ramai pelajar dari luar negara untuk belajar ke negara ini sehingga negara kita kini dijadikan hub pendidikan yang signifikan di seluruh dunia,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, forum tersebut yang berlangsung lebih dua jam dengan tajuk “Halatuju Pendidikan Tinggi Malaysia: Universiti di Persimpangan?” melalui aplikasi webex, dan FB live, juga menjemput Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Pengerusi Bursa Malaysia & Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai ahli panel jemputan manakala moderator forum ialah Pensyarah Kanan UTM, Datin Ts. Dr. Rozzeta Dolah.

 
Attachment(s):
 
 
Demo