Events Calendar

Download as iCal file
92 graduan terima Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi UNIMAS
From Saturday 22 September 2018 -  06:00pm
To Monday 24 September 2018 - 05:00pm
Hits : 2609
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
PGdip1.jpg

pgdip2pgdip3

pgdip4pgdip5

 

KOTA SAMARAHAN, 22 September 2018 : Seramai 92 orang graduan terdiri daripada staf akademik UNIMAS yang baru telah menerima penganugerahan diploma pascasiswazah pada Majlis Konvokesyen ke-11 bagi program Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA UNIMAS, petang tadi.

Majlis Konvokesyen ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Panglima Sulong Matjeraie yang turut menyampaikan anugerah kepada tiga orang graduan terbaik iaitu Dr Josephine Lai Chang Hui daripada Fakulti Kejuruteraan dan Puan Shalin Lee Wan Fei serta Encik Dev Nath Kaushal, kedua-duanya daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Dalam ucapan sebelum itu, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi mengucapkan tahniah kepada para graduan dan berharap signifikasi kejayaan ini akan menjadi penyumbang untuk memartabatkan budaya kecemerlangan akademik di UNIMAS.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini yang diadakan sejak 15 tahun lepas, mencerminkan penekanan dan pertimbangan UNIMAS yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan profesionalisme staf akademik secara berterusan.

“ Penyelaras program ini sentiasa memastikan kualiti program yang tinggi dan fasilitator kursus dilantik dalam kalangan para akademik kanan yang mempunyai kelayakan profesional dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, pengamal pengajaran-pembelajaran terbaik universiti serta pemimpin akademik daripada beberapa pusat tanggungjawab yang berkaitan.

“ Kurikulum program ini juga sentiasa dikemaskini untuk memastikan para peserta menguasai pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang relevan dengan cara pembelajaran generasi kini iaitu Generasi-Z. Peserta program dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk rekabentuk semula pembelajaran selaras dengan keperluan Pendidikan 4.0 (Education 4.0) agar mereka dapat melahirkan pelajar universiti yang berupaya menyahut pelbagai cabaran Revolusi Industri 4.0,” sambung beliau.

Menurut Naib Canselor, pihak Universiti akan terus memberi sokongan sumber untuk membolehkan program Diploma Pascasiswazah ini diteruskan dan sentiasa dipertingkatkan agar kekal relevan dengan hala tuju pendidikan UNIMAS sepertimana yang digariskan dalam Pelan Strategik UNIMAS 2016-2020.

Sementara itu, program ini mula diperkenalkan pada tahun 2003 dan sehingga ke konvokesyen kali ini, seramai 449 graduan telah dihasilkan dan pelaksanaan program dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia (CALM).

Program Diploma Pascasiswazah yang merangkumi lapan kursus dengan sejumlah 32 kredit serta boleh dilengkapkan dalam tempoh setahun itu merupakan pendekatan sistematik universiti untuk membina kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Kurikulum program yang melibatkan kombinasi kerja kursus dan praktikum ini bertujuan untuk melatih ahli akademik UNIMAS dalam pengajaran dan pembelajaran secara teratur dan formal bagi meningkatkan kecekapan peribadi mereka sebagai pendidik universiti.

Melalui program ini, ahli akademik baharu yang tidak mempunyai pengalaman mengajar diberi pendedahan secara sistematik dalam pelbagai aspek. Ini termasuklah prinsip dan falsafah pendidikan tinggi, teori dan psikologi pembelajaran, reka bentuk kurikulum dan pembelajaran, pedagogi berpusatkan pelajar, mentoring, penaksiran pembelajaran dan teknologi pembelajaran agar para akademik ini dapat mengukuhkan kompetensi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Program ini juga mengamalkan penaksiran tanpa peperiksaan konvensional untuk kesemua kursus. Sebagai gantian kepada peperiksaan konvensional, pelbagai kaedah penaksiran alternatif atau alternative assessments telah digunakan untuk mengukur pencapaian pembelajaran para peserta secara lebih sahih dan menyeluruh.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa, YBhg Profesor Fasihuddin Badruddin Ahmad, dan Dekan CALM, YBhg Profesor Dr Chen Chwen Jen, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UNIMAS, barisan Dekan-dekan, para ahli akademik dan kakitangan UNIMAS dan jemputan daripada pelbagai institusi pendidikan swasta dan kerajaan.

Sebaik sahaja majlis konvokesyen selesai, telah diadakan jamuan minum petang yang turut memuatkan upacara penyerahan sijil tamat kursus kepada 21 peserta bagi Teaching Enrichment Programme (TEP) yang telah disampaikan oleh Naib Canselor.

Tujuan utama TEP adalah untuk menyampaikan maklumat terkini dan perkembangan semasa ilmu serta kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya kepada staf akademik yang telah berkhidmat selama 15 tahun ke atas (senior academics).

Terdapat 3 modul yang perlu dilengkapkan oleh para akademik UNIMAS yang terpilih ini agar mereka sentiasa menambahbaik dan mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Sijil penghargaan dan cenderahati juga diserahkan kepada Penyelaras Kursus Program Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi bagi Kohort 14 & Kohort 15 serta penilai Kursus CLM5084 Teaching Practicum. Anugerah Pencapaian Pembelajaran Teradun (Fakulti/Pusat) juga turut disampaikan kepada fakulti-fakulti yang telah melaksanakan pembelajaran teradun (penggunaan pembelajaran atas talian) dengan jayanya.

 
Attachment(s):
 
 
Demo