Events Calendar

Download as iCal file
UNIMAS suntik minat pelajar dalam STEM
Monday 14 August 2017, 08:00am - 05:00pm
Hits : 4037
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
STEM1.jpg

STEM2STEM3

STEM5STEM4

Rencana ditulis oleh : Dr Farah Akmal Idrus ( Pensyarah FSTS)

Masalah kekurangan pelajar dalam jurusan berkaitan sains di universiti tempatan adalah amat membimbangkan dengan anggaran hanya lebih kurang 26 peratus sahaja pelajar yang memilih jurusan ini.

Menyedari pentingnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pembangunan negara dan generasi akan datang, Malaysia telah meletakkan sasaran 60 peratus pelajar mengambil jurusan berkaitan STEM di universiti negara ini.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam laporan akhbar sebelum ini, universiti perlu menyumbangkan idea bagaimana untuk memastikan pembelajaran STEM menjadi lebih menyeronokkan.

Ini bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia khususnya bagi pendidikan tinggi yang dilancarkan kerajaan bermula 2015 hingga 2025 selaras dengan dasar nasional untuk mencapai sasaran 60 peratus pelajar dalam bidang STEM.

Justeru, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengambil inisiatif menganjurkan program ‘STEM Innovation and Nature Fair 2017’ pada 2 Ogos 2017 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching, Sarawak.

Seramai 970 pelajar dan lebih 60 guru dari 22 buah sekolah di sekitar daerah Kuching dan daerah berhampiran telah menyertai program ini yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan menarik minat pelajar mempelajari bidang STEM.

Melalui pelbagai produk inovasi yang berasaskan STEM dan alam semulajadi, para pelajar sekolah didedahkan dengan pengaplikasian ilmu pendidikan STEM dalam kehidupan harian mereka.

Penyelidik-penyelidik dari lima fakulti dan Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) turun padang untuk bertemu pelajar sekolah serta memberi pembelajaran dan ilmu sebagai anjakan kepada corak pembelajaran di sekolah agar dapat melahirkan bakat penyelidik dalam jiwa muda para pelajar sekolah.

Fakulti-fakulti yang terlibat adalah dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif.

Taklimat syarat kemasukan pelajar lepasan SPM ke program Asasi Sains Hayat dan Fizikal di PPPU juga disediakan dan disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pra-U, Prof. Madya Dr. Ramlah Zainudin.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Profesor Dr. Kopli Bujang berkata, program ini amat signifikan dengan usaha Kerajan Negeri memandang serius  untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dan tenaga pakar dalam bidang STEM khususnya dalam kalangan anak watan Bumi Kenyalang bagi menyokong era Digital Ekonomi.

“UNIMAS telah diberikan tanggungjawab besar oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengendalikan projek-projek berkaitan ‘STEM Education Lab’ dan program ini adalah salah satu darinya”, katanya.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Professor Dr. Othman Bojo berkata, “Pembelajaran STEM yang holistik di peringkat sekolah perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin bagi mendapatkan hasil yang berkesan, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah peratusan pelajar sekolah yang memilih aliran sains di sekolah mengengah dan kemudian memilih jurusan yang berasaskan STEM semasa di universiti.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mempromosikan UNIMAS terutamanya Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, sebagai salah satu pilihan untuk melanjutkan pelajaran kelak,” katanya.

Pengerusi Program ‘STEM Innovation and Nature Fair 2017’, Dr. Aida Shafreena Ahmad Puad dalam ucapannya berkata, alam semulajadi adalah anugerah yang tidak ternilai yang perlu dipelihara agar generasi akan datang tidak kehilangan kepentingan dan keindahannya.

“Sebenarnya jika bidang berkaitan alam semulajadi seperti sains tumbuhan, sains akuatik dan sains haiwan diberi perhatian serius, pelbagai masalah lain dapat diatasi, contohnya masalah banjir dan kekurangan sumber makanan.

“Dengan inovasi melibatkan pelbagai bidang berkaitan STEM, maka kelestarian alam semulajadi juga dapat dijaga”, katanya.

Sebanyak 25 buah pameran dibuka di mana setiap pameran memberi penekanan pada bidang STEM yang berbeza berasaskan kepentingan memahami sains asas seperti biologi, kimia dan fizik untuk memastikan pembangunan teknologi lain yang lebih terkedepan tetapi dalam masa yang sama mesra alam semulajadi.

Antara produk inovasi yang berkaitan dengan alam semulajadi yang dipamerkan adalah penghasilan arang dari pokok buluh, penggunaan sisa agrikultur untuk menanam cendawan, penghasilan gula daripada hampas sagu, pengunaan sistem kawalan mikro Arduino dalam sistem akuaponik (akuakultur dan hidroponik) untuk menggalakkan pertanian bandar, penghasilan minyak dari kulit katak di Borneo untuk merawat sakit kulit, dan pembinaan rumah ketam bakau sebagai tempat perlindungan dan pembesaran.

Manakala pameran berkaitan pemuliharaan alam sekitar seperti projek pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar akuatik di Sarawak turut dibuka untuk memberi  pendedahan kepada pelajar tentang kitaran hayat ikan, ketam kecil di pokok nipah dan memahami tingkah laku pemakanan kerang, perbezaan antara buaya air masin dan buaya air tawar melalui pameran rangka dan tulang sebenar buaya-buaya tersebut.

Program ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik secara praktikal untuk menggalakkan pembentukan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar untuk meneroka, melibatkan diri dan bereksperimen pada pelbagai perkara dan idea.

Antara aktiviti praktikal yang dijalankan adalah teknik pemencilan DNA menggunakan peralatan di rumah dengan para pelajar di beri peluang mencuba sendiri teknik ke atas sampel pokok terpilih.

Bagi pelajar yang meminati bidang sains komputer dan kejuruteraan, mereka dapat mencuba aktiviti seperti pemetaan video 3D yang dapat menimbulkan nilai estetika animasi dalam penganjuran majlis seperti pertunjukan fesyen.

Aktiviti algoritma pengecaman wajah kucing juga ada dilakukan yang mana teknik ini amat berguna kepada ahli veterinar atau pengkaji baka kucing.

Selain para pelajar, guru-guru mata pelajaran sains dan matematik turut mendapat kebaikan dari program ini. Para guru juga berpeluang bereksperimen dan mendapat idea baru yang dapat diguna pakai dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas nanti.

Melalui program sehari ini, pelajar turut diberi pendedahan bahawa mempelajari STEM tidak bermakna mereka perlu menjadi doktor atau jurutera sahaja, tetapi dengan kemampuan analitikal dan kemahiran logikal, para pelajar dapat menjadi saintis, pakar animasi, ‘programmer’, pakar alam sekitar dan perekacipta.

                      

 
Attachment(s):
 
 
Demo