Events Calendar

Download as iCal file
Ikrar Bebas Rasuah bukti komitmen warga UNIMAS perangi rasuah
Friday 12 May 2017, 08:00am - 05:00pm
Hits : 2764
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
ikrar1.png

ikrar2

KOTA SAMARAHAN, 12 Mei 2017 : Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi mengetuai warga UNIMAS untuk majlis mengangkat Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersempena dengan Hari Integriti UNIMAS 2017 yang berlangsung hari ini bertempat di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA UNIMAS.

Hari Integriti UNIMAS 2017 diadakan selama dua hari dengan pelbagai aktiviti sampingan diadakan antaranya forum integriti dan larian integriti dengan kerjasama padu di antara UNIMAS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis ini menyaksikan semua warga kerja UNIMAS mengangkat ikrar secara beramai-ramai dengan disaksikan oleh para pegawai SPRM dan menandatangani sijil IBR iaitu bukti untuk komitmen bersama memerangi gejala rasuah.

Dalam ucapan, Naib Canselor menyatakan ikrar warga UNIMAS yang komited dalam usaha untuk membudayakan integriti pada setiap fungsi dalam segenap lapisan organisasi sejajar dengan hasrat UNIMAS memantapkan integriti penjawat awam melalui amalan tadbir urus yang baik, membina kompetensi, meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan produktiviti warga kerja khususnya di Universiti ini.

Beliau berkata, sambutan Hari Integriti UNIMAS diadakan sebagai satu usaha berterusan pihak UNIMAS untuk membentuk dan membudayakan warga UNIMAS agar berintegriti dan mempunyai keutuhan peribadi agar pelan strategik UNIMAS dapat dicapai di samping mencapai hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi).

Katanya, integriti dalam kalangan warga UNIMAS amat penting untuk mewujudkan persekitaran akademik yang berbudaya cemerlang yang akhirnya dapat menjana modal insan yang berkualiti.

“ Pada hari ini, UNIMAS turut melakar sejarah untuk menandatangani komitmen atau ikrar atas usaha-usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seterusnya memperkasa integriti.

Komitmen yang akan ditandatangani pada hari ini bukan sahaja atas kapasiti secara individu, malah sebagai mewakili seluruh warga UNIMAS. Kita menyedari, bahawa dalam aspek integriti, perkara paling penting adalah amalan dan bukan setakat memperkatakannya atau perakuan di atas kertas.

Namun, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah sebagai satu tanda komitmen untuk menzahirkan iltizam yang kuat untuk terus memperkukuhkan lagi integriti kita sebagai warga UNIMAS,” katanya lagi.

Naib Canselor menambah, dengan perubahan persekitaran kerja yang kompleks pada masa kini memerlukan warga kerja yang komited dalam menjalankan tugas seharian dan kreatif untuk melakukan perubahan untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pemegang taruh UNIMAS.

“ Apabila kita mempunyai kesedaran, percaya serta menjadikan integriti sebagai amalan seharian, maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif untuk pembudayaan nilai integriti dalam organisasi kita. Jika ini berlaku, impaknya amat signifikan sekali,” sambungnya lagi.

Sementara itu, forum integriti yang diadakan pada sebelah petang ini menampilkan tiga orang panel iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Mufti Sarawak dari Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Bin Haji Yassin.

Tajuk forum adalah “Kebersamaan Memerangi Jenayah Rasuah” iaitu selari dengan majlis IBR yang diadakan pada sebelah pagi di samping menegaskan kepentingan setiap individu dalam bersama-sama mencegah dan memerangi jenayah rasuah.

Manakala larian Integriti pula diadakan pada esok hari sebagai acara penutup kepada program HIU 2017 dan melibatkan warga kerja UNIMAS dari pelbagai peringkat pengurusan sama ada akademik mahupun pengurusan, pelajar UNIMAS dan warga kerja SPRM.

Acara larian ini juga diadakan sempena menyambut sambutan ke atas ulangtahun UNIMAS yang ke-25.

Antara objektif utama program ini adalah sebagai pemangkin kepada semua warga UNIMAS agar sentiasa membudayakan peribadi yang berintegriti tinggi dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Program-program ini juga diharap dapat menyemai  budaya kerja yang cemerlang dan memupuk kesedaran mengenai kepentingan nilai-nilai murni, beramanah, jujur, setia dan berintegriti dalam segala urusan kerja seharian.

Artikel oleh : Sarena Haidir

Foto oleh : Azlandy M.A.T

 
Attachment(s):
 
 
Demo