Events Calendar

Download as iCal file
Istiqamah laksana amanah, perangi rasuah dan salah-guna kuasa
Friday 12 May 2017, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1642
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
ikrar3.png

KOTA SAMARAHAN, 12 Mei 2017 :  Elemen integriti dan anti-rasuah penting dalam usaha melahirkan warga siswa yang mempunyai nilai kreatif, inovatif dan kemahiran dalam pelbagai bidang seiring dengan minda agama dan moral tinggi sebagai pemangkin pembangunan mapan.  

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Hari Integriti UNIMAS 2017 di Arena Gemilangm DeTAR PUTRA UNIMAS, hari ini.

Beliau berkata, pembudayaan integriti dan anti-rasuah perlu disemarakkan dalam operasi harian UNIMAS supaya visi Universiti untuk menjadi Universiti contoh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dapat dicapai.

Katanya,  sejak tahun 2014 sehingga Mac 2017 sahaja sebanyak 70 kertas siasatan berhubung kes rasuah telah dibuka dengan jumlah 23 tangkapan telah dilakukan di kalangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“ Oleh itu, adalah penting supaya UNIMAS sebagai sebuah IPTA yang berpotensi tinggi diperkukuhkan dari aspek pentadbiran dan penyampaiannya dengan menyemai elemen integriti dan anti-rasuah di kalangan warganya,” katanya lagi.

Dato’ Shamshun Baharin turut berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh warga UNIMAS dengan  menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang mencerminkan warga Universiti ini berikrar menjunjung tanggungjawab bagi menjauhi diri dalam sebarang jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau menambah, langkah sebegini memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan warga Unversiti untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah supaya tanggungjawab dan amanah mereka dapat dilaksana dengan baik.

“ Aspirasi dan kesedaran ini harus dipuji dan menjadi contoh kepada agensi kerajaan dan swasta yang lain di seluruh negara khasnya di kalangan IPTA dan IPTS.  Komitmen UNIMAS ini membuktikan bahawa tanggungjawab membanteras rasuah bukanlah pada SPRM semata-mata tetapi perlu dikongsi bersama oleh seluruh lapisan masyarakat,” sambungnya lagi.

Dalam ucapan beliau turut berharap program Ikrar Bebas Rasuah ini akan menjadi kesinambungan hubungan dan pengukuhan kerjasama yang wujud di antara SPRM dan UNIMAS dalam usaha bersama memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, kerjasama itu pasti juga akan memberi keyakinan, kepercayaan dan sokongan rakyat secara berterusan dan akan kekal istiqamah dalam melaksana amanah dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Artikel oleh : Sarena Haidir

Foto oleh : Azlandy M.A.T

 
Attachment(s):
 
 
Demo