Events Calendar

Download as iCal file
Pelajar antarabangsa bantu harumkan nama UNIMAS
Thursday 21 April 2016, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1923
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
abdalla1.jpeg

abdulla2

abdulla3

KOTA SAMARAHAN, 21 April 2016 : Pemilihan tajuk perbahasan ‘ Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ membawa tuah kepada pelajar antarabangsa UNIMAS, Abdalla Hassan Gharib apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, piala Perdana Menteri, piala dan hadiah iringan serta sijil selepas dinobatkan juara dalam kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (Pam) di Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM 2016) edisi ke-10 bulan lepas.

 

Kejayaan Abdalla dari Zanzibar, Tanzania itu sekaligus membuktikan pelajar antarabangsa boleh mengadaptasikan persekitaran dengan baik sekaligus membantu mengharumkan nama universiti masing-masing.

 

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi turut menyampaikan rasa penghargaan dan gembira beliau dengan kejayaan pelajar antarabangsa UNIMAS selama ini.

 

“ Kita berharap agar pelajar antarabangsa UNIMAS boleh berjaya dalam pelbagai jenis bidang termasuklah bidang penyelidikan dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan perjumpaan singkat bersama Abdalla di pejabat Naib Canselor, petang kelmarin.

 

Turut berada dalam perjumpaan singkat tersebut ialah dua pelajar antarabangsa yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian lagu Bahasa Melayu iaitu Darusman Masud dan Yvonne Dodzi Ami Adjakloe.

 

Abdalla, 36, pelajar PhD dari Fakulti Sains Komputer UNIMAS, tidak menyangka penyertaan kali kedua beliau dalam pertandingan yang sama itu membuahkan hasil yang amat memeranjatkan.

 

Beliau berkata, kali pertama beliau bertanding dalam pertandingan sama adalah pada tahun 2014 dengan hanya bertahan di peringkat suku akhir sahaja.

 

Namun, kejayaan beliau kali ini mengalahkan tujuh belas pelajar antarabangsa lain dalam kategori itu seumpama seperti satu kejutan dan beliau amat berterima kasih dengan tenaga pengajar dan kawan-kawan di UNIMAS yang banyak membantunya selama ini.

 

“ Saya begitu gembira kerana dapat membantu mengharumkan nama UNIMAS dalam pertandingan seperti itu. Saya berharap pelajar antarabangsa lain supaya tidak mudah berputus asa jika berhadapan dengan kekalahan dan bijak mengambil peluang yang ada untuk membangunkan diri sendiri,” katanya.

 

Sementara pasangan duet, Darusman Masud dari Kalimantan Barat, Indonesia dan Yvonne Dodzi Ami Adjakloe dari Ghana, bertaruhkan lagu bertajuk ‘kemesraan’ dan berjaya mendapat tempat ketiga kategori nyanyian lagu Bahasa Melayu Pelajar Antarabangsa Kementerian Pendidikan Tinggi 2015, lepas.

 

Yvonne turut memenangi anugerah vokal terbaik dalam pertandingan berkenaan. Pasangan duet ini, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Ekonomi Perniagaan, telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500, piala dan sijil.

 

Mereka turut berharap dapat mencari ruang dan peluang dalam pertandingan seterusnya sebagai membantu mengharumkan nama universiti ini pada masa akan datang.

 

 

Artikel oleh : Sarena Haidir

Foto oleh : Azlandy M.A.T

 
Attachment(s):
 
 
Demo