Events Calendar

Download as iCal file
UNIMAS rasmi Dewan Peperiksaan Baharu- Dewan Wakaf Yusuf Marais
Thursday 05 December 2019
Hits : 3703
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
wakaf_plug perasmian.jpg

 

Kota Samarahan, 5 Disember 2019: Bangunan Dewan Wakaf Yusuf Marais dirasmikan hari ini menerusi sebuah majlis perasmian di UNIMAS pagi tadi. Bangunan wakaf ini merupakan Dewan Peperiksaan Berpusat UNIMAS yang terdiri daripada empat (4) dewan kecil dengan setiap satu boleh memuatkan sebanyak 180 meja dan kerusi peperiksaan. Kapasiti keseluruhan dewan ini dapat menampung sebanyak 720 orang.

Projek wakaf pembinaan Dewan Yusuf Marais ini direalisasikan oleh OBYU Holdings Sdn Bhd dengan saluran sumbangan derma wakaf berjumlah RM5 Juta. Selain keperluan untuk menyediakan ruang-ruang yang lebih kondusif dan menampung ruang sedia ada untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta urusan peperiksaan, dewan ini juga dibuka untuk kegunaan rasmi orang ramai bagi meluaskan lagi manfaat pembinaannya menerusi khidmat sewaan. Hasil sewaan tersebut akan dimasukan ke Tabung Endowmen UNIMAS bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Tabung Endowmen ini diuruskan oleh Bahagian Endowmen dan Wakaf UNIMAS.

Dalam ucapan Naib Canselor UNIMAS, Yang Berbahagia Prof Datuk Dr Mohamad Kadim berkata projek wakaf selain daripada dewan peperiksaan ini, beberapa projek pembangunan wakaf khas lain sedang dalam proses pembinaan. Projek tersebut termasuklah pembinaan Masjid Kampus Timur bernilai RM2 Juta dan mampu memuatkan 1,500 jemaah telah siap dibina pada September lepas dan bangunan Pusat Pembangunan Dan Khidmat Teknologi Maklumat yang bernilai RM12 Juta dan dijangka akan siap pada tahun hadapan.

Selain itu beliau berkata UNIMAS berasa amat bertuah dan berbesar hati dengan sumbangan RM5Juta daripada Pengasas dan Penasihat OBYU Holdings Sdn Bhd, Yang Berbahagia Tan Sri Haji Bustari Haji Yusuf. Sumbangan yang telah diberikan ini pastinya memberi manfaat yang amat besar buat warga universiti terutamanya untuk kemajuan pendidikan anak bangsa Malaysia.

Selain tabung wakaf untuk pembangunan projek-projek khas yang dinyatakan tadi, UNIMAS turut menubuhkan Tabung Endowmen Biasiswa B40 untuk membantu pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Aspek bantuan yang diberikan ialah dari segi pembayaran yuran dan sara hidup pelajar yang memerlukan.

Pada masa yang sama simbolik penyampaian sumbangan daripada Tabung Endowmen UNIMAS berjumlah RM247,950.00 turut disampaikan kepada wakil pelajar B40 iaitu Saudara Leonard Louis anak Ganai yang mewakili 419 orang pelajar prasiswazah dan pra universiti UNIMAS yang telah menerima bantuan daripada tabung ini.

Datuk Kadim turut menyatakan UNIMAS bersama Tabung Baitulmal Sarawak serta penyumbang di kalangan korporat dan orang awam setakat ini telah mengagihkan RM3,090,112.00 kepada pelajar seramai 1,876 dalam tempoh September 2018 sehingga Jun tahun ini bagi meringankan beban kewangan.

Selain daripada Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmadi Yusuff iaitu Pengerusi OBYU Holdings Sdn Bhd selaku perasmi dan juga mewakili Yang Berbahagia Tan Sri Haji Bustari Yusuf, Pengasas dan Penasihat OBYU Holdings Sdn Bhd, yang turut hadir ke majlis perasmian ini tadi ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Penasihat Korporat OBYU Holdings Sdn Bhd Yang Berbahagia Tuan Haji Abang Noordin Datuk Hj Abang Zainuddin, Pengurus besar OBYU Holdings Sdn Bhd Yang Berusaha Encik Edrus Busrah, Pegawai Eksekutif Tabung Baitumal Sarawak Ustaz Muamar Gadaffi b Abdul Hadi, pengurusan tertinggi UNIMAS, pegawai-pegawai UNIMAS, wakil– wakil pelajar B40 dan rakan-rakan media.

wakaf serah mock cheque

wakafgimik perasmian

wakaf leonardo b40

dewan yusuf1

wakaf Pic OBYU

Artikel disediakan oleh: Ruvi Christina

Foto oleh: Azlandy

 
Attachment(s):
 
 
Demo