Events Calendar

Download as iCal file
Lebih 150 sertai ekspedisi Banjaran Bungo
Wednesday 06 December 2017, 08:00am - 05:00pm
Hits : 415
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
bungo3.jpg

bungo1bungo2

bungo4bungo5

bungo6

 

KOTA SAMARAHAN, 6 Disember 2017 : Lebih 150 orang terdiri dari para penyelidik dan pelajar UNIMAS telah menyertai Ekspedisi Banjaran Bungo di Kampung Tringgus Serian yang bermula kelmarin sehingga 10 Disember ini.

Perasmian ekspedisi tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Tuan Miro ak Simuh sambil disaksikan bersama oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Pegawai Daerah Bau, Pegawai Pendidikan Bau, Pengarah-pengarah UNIMAS, kakitangan, pelajar UNIMAS dan penduduk setempat di Kampung Tringgus Bau.

Dalam ucapan ringkas, Tuan Miro Simuh berterima-kasih dengan UNIMAS kerana memilih Banjaran Bungo sebagai tapak pengajian para pelajar Universiti ini.

“ Pemilihan kawasan Tringgus memang tepat sekali sebab dari segi ketulenan dan kekayaan flora dan fauna yang ada, aktiviti sebegini boleh membantu meningkatkan ekonomi pelancongan penduduk di sini.

“ Saya berharap agar maklumat yang dikumpul serta analisis-analisis yang dibuat para penyelidik dapat dikongsi bersama dengan kami di sini. Ia berguna untuk kami membuat perancangan pembangunan di kawasan DUN Serembu pada masa akan datang,” katanya lagi.

Beliau turut berharap manfaat yang diperolehi dari ekspedisi tersebut bukan sahaja dirasai oleh para pelajar dan penyelidik UNIMAS tetapi juga para penduduk tempatan.

Manakala Naib Canselor dalam ucapannya berkata UNIMAS sebagai sebuah Universiti Awam komprehensif akan terus memainkan peranan dan tanggungjawab dalam aspek penyelidikan dan inovasi.

Beliau berkata,  antara tujuan ekspedisi ini diadakan adalah untuk menerokai dan mendokumentasi kepelbagaian floran dan fauna di kawasan banjaran Bungo, menilai struktur demografi dan corak pembangunan masyarakat yang tinggal di kawasan banjaran Bungo, menilai tahap penggunaan dan pemuliharaan sumber asli  dan oleh masyarakat sekitar kawasan berkenaan dan menilai potensi sumber asli bagi pembangunan sosial masyarakat secara keseluruhan.
“ UNIMAS telah mengadakan ekspedisi serupa di Dataran Bario, Taman Negara Loagan Bunut, Crocker Range, Gunung Silam di Sabah dan beberapa tempat lain.

“ Menerusi ekpedisi-ekspedisi lepas, kita telah menghasilkan pelbagai bahan termasuk penerbitan buku ilmiah, buku monograf, terbitan kertas jurnal dan lain-lain. Selain ekpedisi berkenaan memberi manfaat kepada para peserta ia juga memberi impak besar kepada komuniti setempat seperti di Bario di mana ia telah membuka laluan kepada dunia luar mengenali Bario dan menarik perhatian pihak kerajaan dan swasta tentang Bario,” katanya.

Banjaran Bungo terletak di lokasi Latitud 1o 16’ dan Longitud 110o 9’, dan berada pada ketinggian lebih kurang 500 m di atas paras laut dan merupakan kawasan tadahan hujan penting di hulu Sungai Sarawak Kiri dan Sarawak Kanan.

Ia meliputi hutan primer dan hutan sekunder hasil dari aktiviti pertanian dan pembalakan lampau serta meliputi kawasan seluas 8,096 hektar telah diwartakan sebagai hutan simpan (Taman Negara Banjaran Bungo) pada 26 Februari 2009.

Kawasan di sekitar luar taman ini di diami oleh kaum Bidayuh di beberapa kampung termasuk Kg Bojong Sting, Kg Rejoi Nyegol, Kg Sait Muk Ayun, Kg Tama Sait, Kg Pain dan Kg Semban di timur, manakala Kg Puak dan beberapa kampung di kawasan Tringgus (Kg Nguan, Kg Rotan & Kg Bong) di sebelah barat manakala di sebelah selatan taman ini adalah bersempadanan dengan Kalimantan Barat, Indonesia.

Ekspedisi Banjaran Bungo 2017, merupakan salah satu daripada aktiviti bersempena Sambutan Jubli Perak UNIMAS dan dianjurkan bersama dengan Jabatan Hutan Sarawak.

Program ini diketuai oleh Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar serta sokongan dan kerjasama daripada lain-lain institut dan fakulti bermatlamatkan untuk meningkat visibiliti UNIMAS kepada komuniti di mana ekspedisi ini dijalankan.

Disamping itu, ia juga sebagai menyahut seruan pihak kerajaan negeri Sarawak yang amat menitik-beratkan konsep biodervisiti digital untuk dilaksanakan di negeri ini.

Artikel oleh : Sarena Haidir

Foto oleh : Azlandy M.A.T

 
Attachment(s):
 
 

Back

Demo