Events Calendar

Download as iCal file
Lima nilai teras diberi penekanan untuk hadapi cabaran bersama
Friday 10 July 2020, 08:00am - 05:00pm
Hits : 11634
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
bengkel1.jpg

bengkel2bengkel3

bengkel4bengkel5

KOTA SAMARAHAN, 10 Julai 2020: Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menekankan lima nilai teras iaitu kecekalan, inovatif, keikhlasan, keserakanan, dan integriti, sebagai sumber kekuatan seluruh warga kerja UNIMAS lebih-lebih lagi ketika menghadapi perubahan dan cabaran besar akibat pandemik Covid-19.

“Penegasan kepada nilai teras ini sangat penting ketika kita bersama-sama mendepani cabaran besar ini,” jelas beliau semasa menyampaikan syarahan Borneo Leadership Talk Series (BoLTS) 2020 yang julung kalinya diadakan, di DeTAR UNIMAS, kelmarin.

Menurut Naib Canselor, nilai kecekalan mengambarkan pelaksanaan segala tugas tanpa putus asa walaupun berhadapan dengan halangan dan cabaran seperti yang terpamer jelas oleh kakitangan perubatan UNIMAS yang begitu berani di barisan hadapan bersama pasukan keselamatan UNIMAS.

Manakala nilai inovatif adalah berkaitan dengan usaha dalam mencari idea baharu dalam mendepani kehidupan norma baharu ini misalnya para penyelidik berinovatif dan kreatif dalam mencipta dan membangunkan pelbagai produk seperti intubation box, sampling box, protective shield, hand sanitizer, dan 3D face shield ear guard.

“ Waima kita tidak terikat dengan masa bekerja organisasi sepenuhnya, namun kita tetap melaksanakan amanah ini dengan baik. Kita perlu memahami dan menyelami konsep nilai teras ketiga iaitu keikhlasan, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” jelas beliau lagi.

Sementara, nilai keempat iaitu keserakanan, menurut Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim dapat ditonjolkan oleh warga universiti dalam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada pihak memerlukan akan membentuk kepercayaan jangka panjang serta membuka ruang kepada orang ramai untuk turut serta membantu.

“ UNIMAS sebagai contoh telah meluluskan bajet sebanyak RM1juta pada 16 Mac lalu sebagai persediaan menghadapi pandemik Covid-19 ini. Tabung Bantuan Covid-19 UNIMAS turut diwujudkan dan mendapat sokongan bukan sahaja dalam kalangan staf kita bahkan juga individu, NGO serta institusi perbankkan. Sehingga kini kita telah mengumpul sejumlah RM271,624.89 sumbangan dan sebahagian besarnya telah dibelanjakan untuk keperluan frontliners dan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” jelas beliau lagi.

Beliau berkata, nilai teras terakhir iaitu integriti pula dapat dilihat apabila pendekatan kepimpinan perlu diubah kepada kaedah yang lebih fleksibel dengan memberi kuasa kepada ahli organisasi dalam pelbagai aspek apabila berlaku krisis seperti kuasa autoriti dan kepercayaan dalam membuat keputusan serta melaksanakannya dengan kadar segera tanpa melalui proses birokrasi.

“ Aspek kejujuran, kebolehpercayaan dan kebergantungan merujuk kepada keselarian dengan janji dan harapan ” katanya lagi.

Naib Canselor menambah, laungan manifestasi UNIMAS iaitu TEGUH BERSAMA merupakan titik tanda yang harus digarap bersama oleh semua warga kampus dalam mendepani pelbagai kemaslahatan baik di dalam kampus atau persekitaran luar.

“ Dan kini, kita semua diuji dengan kehadiran wabak pandemik yang tidak pernah kita fikir mampu untuk mengganggu gugat seluruh norma kerja kita sebelum ini. Dengan yang demikian, perubahan dan cabaran ini harus ditempuhi dengan berpaksikan lima nilai teras yang menjadi sumber kekuatan seluruh warga kerja UNIMAS,” kata beliau lagi.

Sementara itu, selepas memberi syarahan yang berlangsung hampir dua jam itu, turut diadakan ialah majlis penyampaian sijil penghargaan untuk frontliners UNIMAS.

Turut menghadiri majlis syarahan sempena Borneo Leadership Talk Series 2020 ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Mantan Naib Canselor UNIMAS merangkap Penasihat Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Profesor Datuk Dr Morshidi Sirat, Timbalan-timbalan Naib Canselor UNIMAS, Dekan-dekan UNIMAS dan Pegawai-pegawai UNIMAS.

Sementara itu, BoLTS merupakan program dan inisiatif yang di wujudkan oleh universiti melalui Pusat Kepimpinan UNIMAS untuk memantapkan kompetensi kepimpinan staf terutamanya warga pentadbir universiti dan akademia yang mempunyai portfolio pentadbiran.

Siri ke-2 BoLTS akan diadakan tidak lama lagi, yang akan dibentangkan oleh Pengarah Institut Pengajian Borneo UNIMAS, Prof. Madya Dr. Poline Bala dengan topik “Voices of Local Community Leaders: Leaving No One Behind in UNIMAS's Role in Supporting SDGs".

 
Attachment(s):
 
 
Demo