Events Calendar

Download as iCal file
HPUNIMAS, PKP dan PJH UNIMAS bakal dibina dengan kos RM560juta
Thursday 22 August 2019, 08:00am - 05:00pm
Hits : 4394
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
hospital1.jpg

hospital2hospital3

 

KOTA SAMARAHAN, 22 Ogos 2019 : UNIMAS sekali lagi mencipta sejarah tersendiri dengan berlangsungnya Majlis Menandatangani Laporan Makmal Pengurusan Nilai Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), telah diadakan di Staff Lounge, Rumah Universiti, UNIMAS.Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.

Majlis menandatangani dan penyerahan dokumen berkenaan telah dilakukan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi bersama-sama dengan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Dr Maziah Che Yusoff dan Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan II, Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), Encik Megat Azlani Megat Ramli.

Naib Canselor dalam ucapan ringkasnya berkata, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia mengalami perubahan drastik dan permintaan pengguna yang tinggi, berikutan kemajuan dalam teknologi maklumat dan kemunculan faktor risiko baharu penyakit.

Oleh kerana itu, jelas beliau, sektor penjagaan kesihatan kini memfokus bukan sahaja kepada kecekapan rawatan tetapi juga mengenai pembangunan strategi dan aktiviti pencegahan.

“ Hasilnya, penyelidikan dan latihan berterusan memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor penjagaan kesihatan,” sambungnya.

Sejajar dengan itu, kata Naib Canselor, Hospital Pengajar UNIMAS dijangka akan memberi sumbangan besar kepada perkembangan sektor penjagaan kesihatan di Sarawak khususnya di kawasan Samarahan.

Beliau menambah, Pelan Strategik UNIMAS 2016 – 2020 (PS 2016-2020) telah menggariskan empat komitmen utama untuk menjadikan UNIMAS sebuah institusi berjenama global yang menghasilkan graduan berkualiti dan memberi manfaat kepada komuniti.

“ Sehubungan itu, pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) akan merealisasikan PS2016-2020 berkenaan di dalam menyediakan pendidikan perubatan dan sains kesihatan yang cemerlang, dan seterusnya melahirkan siswazah yang kompeten dan berkepakaran tinggi.  

HPUNIMAS akan menyediakan fasiliti pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terkini dan berteknologi tinggi untuk program prasiswazah dan siswazah dalam pelbagai bidang perubatan dan sains kesihatan, penyelidikan dan perkhidmatan kepakaran tertiari,” katanya lagi.

Sementara itu, satu Makmal Pengurusan Nilai Bagi Projek Pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) telah diadakan selama lima hari bermula 8 hingga 12 April 2019 di salah sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kuching.

Dalam Makmal tersebut, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), KPM, UNIMAS dan JKR telah bersetuju untuk menggabungkan skop projek Pembinaan Dan Penyiapan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Sarawak dengan Pembinaan Pusat Kesihatan Prima (PKP) dan Pusat Jagaan Harian (PJH) di UNIMAS.

Kos keseluruhan yang baru bagi projek ini adalah sebanyak RM560 juta berbanding kos asal projek yang hanya melibatkan HPUNIMAS sebanyak RM480 juta dan telah diluluskan di bawah Rolling Plan 4 2019 (RP4), RMKe-11 serta dijangka bermula pada April 2020 dan siap pada bulan Mei 2024.

HPUNIMAS dan PKP akan menyediakan perkhidmatan kesihatan dalam 13 kepakaran seperti Perubatan, Surgikal, Obstetrik & Ginekologi, Paediatrik, Psikitarik, Ortopedik, Oftalmologi, ENT, Radiologi, Patologi, Anaesthesiologi, Perubatan Kecemasan dan Perubatan Keluarga.

Kos projek pembinaan baru ini juga melibatkan penyediaan kemudahan-kemudahan seperti berikut iaitu 300 buah katil, Jabatan pesakit luar (OPD), fasiliti pesakit dalam dan wad, lapan (8) dewan bedah utama (Main OT) yang dilengkapi dengan kemudahan peralatan berteknologi tinggi digital dan hibrid, dua (2) dewan bedah materniti (Maternity OT) dan dua (2) dewan bedah jagaan harian (Daycare OT), khidmat sokongan- makmal diagnostik klinikal (CDL), radiologi, dan sebagainya, kemalangan dan kecemasan dan khidmat sokongan,pusat rehablitasi,pusat penyelidikan klinikal (CRC), Pusat Kesihatan Prima, Pusat Jagaan Harian, pejabat pentadbiran, perpustakaan, kemudahan teknologi maklumat, khidmat kejuruteraan dan penyelenggaraan, bilik pensyarah, bilik seminar dan bilik persidangan, kemudahan sokongan seperti surau, kafe, pondok pengawal dan kemudahan mekanikal dan elektrikal.

HPUNIMAS & PKP juga akan menyediakan perkhidmatan farmasi melalui Satellite Pharmacy with Drive Thru facilities untuk pesakit luar dan secara keseluruhan, projek ini dijangka siap pada Mei 2024.

 
Attachment(s):
 
 
Demo