Events Calendar

Download as iCal file
Datuk Dr Yusuf Hadi : Ikon Pendidikan Negara
Thursday 01 November 2018, 08:00am - 05:00pm
Hits : 2755
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Yusuf hadi1.jpg

Yusuf hadi2

Datuk Dr Yusuf Hadi merupakan Naib Canselor kedua Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Anak watan dari Kampung Rajang, Daerah Tanjung Manis,Mukah ini lahir pada 15 Jun 1950. Sewaktu muda, beliau banyak menghabiskan masa untuk menuntut ilmu. Bermula dari pendidikan awal beliau di Sekolah Abang Galau Rajang dari tahun 1962 hingga1967. Beliau telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Three Rivers Mukah, setelah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ‘Common Entrance’ dan seterusnya ke Tingkatan enam di Kolej Tanjong Lobang, Miri (sekarang dikenali Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang) pada tahun 1968.

Berbekalkan kecekalan hati yang kuat, langkah Yusuf Hadi semakin panjang untuk menimba ilmu dengan melanjutkan pengajian di University of Hawaii, Honolulu di bawah program East-West Centre dengan biasiswa daripada Malaysia dan USA bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang biologi. Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Sains Perhutanan di University of Yale, New Haven, Connecticut USA pada tahun 1975. Beliau menerima gelaran Profesor Madya pada tahun 1987 manakala gelaran Profesor pada tahun 1996.

Pada usia 26 tahun, beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang pensyarah di Fakulti Perhutanan UPM, Serdang, selepas bergraduat. Kreadibiliti yang ditonjolkan melayakkan beliau memegang jawatan sebagai Dekan fakulti dalam dua tahun kemudiannya pada usia muda mencecah 28 tahun.

Seterusnya, pada tahun 1979, beliau diberi biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam jurusan Perancangan Pengurusan Hutan di University of British Columbia, Vancouver, Canada. Sekembalinya ke tanah air, beliau dilantik untuk mengetuai Jabatan Perhutanan di UPM cawangan Sarawak di Semenggok selama dua tahun. Selepas itu, beliau berpindah semula ke kampus induk UPM di Serdang dan dilantik menjadi Ketua Jabatan Pengurusan Hutan pada tahun 1985, diangkat menjadi Timbalan Dekan (1987) dan Dekan (untuk kali kedua) pada tahun 1991. Yusuf Hadi juga pernah dipinjamkan untuk bertugas di Jabatan Perhutanan Sarawak selama dua tahun selepas beliau kembali bercuti sabatikal sebagai Profesor Pelawat di Michigan State University, East Lansing, USA.

Melihat kepada pengalaman dan pengetahuan yang ada pada Yusuf Hadi, menarik minat UNIMAS untuk mendapatkan khidmat beliau untuk membantu Universiti ini yang ketika itu dilihat masih ‘muda’ jika dibandingkan institusi pengajian tinggi awam lain di negara ini. Pada tahun 1993, Yusuf Hadi telah dilantik memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pembangunan Pelajar). Paling mengagumkan, beliau antara barisan individu yang bertanggungjawab melaksanakan pembangunan akademik dan pembangunan pelajar seperti yang tergaris di dalam ‘ Buku Pokok’ – sebuah dokumen asas kepada strategi pembangunan UNIMAS.Beliau juga turut memberi sumbangan dalam hal-hal berkaitan pembangunan sumber manusia di Universiti ini.

Yusuf Hadi telah dilantik sebagai Naib Canselor UNIMAS kedua menggantikan Profesor Emeritus Dato’ Dr Mohamad Zawawi Ismail bermula 1 Ogos 2002 hingga 31 Julai 2004. Perlantikan ini meletakkan beliau dalam sejarah sebagai warga Sarawak yang pertama dilantik mengetuai sebuah Universiti dalam negara ini pada ketika itu.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menggandakan usaha memastikan pembangunan dan kecemerlangan Universiti ini dalam mengapai visi dan misi yang telah dimatlamatkan. Beliau dikenali sebagai ikon pendidik yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan akademik mahupun kesarjanaan universiti tetapi juga ikon yang prihatin dengan kebajikan warga Universiti.   Buktinya dapat dilihat dalam Laporan Tahunan 2001 dan 2004 yang membukukan tentang aktiviti pembangunan di Universiti ini pada tahun-tahun beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor. Sebaik menamatkan jawatan sebagai naib Canselor UNIMAS, Yusuf Hadi meneruskan khidmat beliau sebagai tenaga pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) UNIMAS sehingga bersara wajib pada tahun 2006 dan sebagai Profesor kontrak sehingga tahun 2009.

Meskipun telah bersara, khidmat Yusuf Hadi masih diperlukan di mana beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa badan berkanun dan bukan berkanun antaranya di Sarawak Forestry Corpopration Sendirian Berhad (SFCSB), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), PUSAKA-KTS Forest Plantations Berhad, Majlis Islam Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan Pengurusan Mineral Sarawak.

Atas sumbangan dan jasa dalam pembangunan dan pendidikan negara serta perkhidmatan cemerlang yang beliau tonjolkan, Yusuf Hadi telah dianugerahkan

Darjah Kebesaran Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran ‘Datuk’ oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 2002. Sebelum itu, beliau juga pernah dianugerahkan Pingat Johan Mangku Negara (JMN) (1997) oleh Kerajaan Persekutuan dan Johan Bintang Kenyalang (JBK) oleh Kerajaan Sarawak (1998). Beliau turut menerima anugerah Pingat Peringatan Delima (gangsa) pada tahun 2003 dan Pingat Perkhidmatan Setia pada tahun 2006.

 
Attachment(s):
 
 
Demo