Events Calendar

Download as iCal file
Perasmian Persidangan Kejuruteraan STEM Antarabangsa UNIMAS Ke-11
Friday 14 September 2018, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1316
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Encon2018_open_ceremony.jpg

SIMBOLIK: Abang Johari bermain safe sambil disaksikan Kadim (kanan) dan Andrew sebagai simbolik perasmian Persidangan Kejuruteraan STEM Antarabangsa UNIMAS Ke-11.

 

 

KUCHING: Sarawak perlu mengambil risiko jika mahu melangkah maju dalam era digital yang berkembang pesat ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagaimanapun berkata, risiko yang diambil hendaklah yang sudah diperhitungkan dan tidak bermakna ia bersifat sembarangan.

Tegasnya jika Sarawak terus ‘bermain secara selamat’, ia akan ketinggalan dalam dunia digital yang berubah dengan pantas.

“Apabila kita mendapat penemuan baharu, risiko sentiasa ada, tetapi inilah cara untuk kita mengikuti perkembangan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kejuruteraan STEM Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-11 di sebuah hotel di sini semalam.

Sebagai contoh katanya, pengumuman beliau mengenai penggunaan bas yang menggunakan gas hidrogen dijangka mula beroperasi Mac tahun depan sebagai projek perintis Kerajaan Sarawak, sudah tentu mempunyai risiko.

Oleh sebab itu katanya, penyelidikan dan pembangunan mesti dilakukan untuk memastikan projek perintis berkenaan berjaya.

Tambahnya, beliau juga sedia maklum projek perintis itu menyebabkan beberapa pihak mempersoalkan keputusannya termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen.

“Memang ada pihak berkata kenapa kita tidak menggunakan bas konvensional.

“Namun bagi saya jika kamu tidak mengambil risiko, kamu akan sentiasa ketinggalan.

“Kalau kamu tidak membuat penyelidikan, kamu bukan orang pertama menemui suatu yang baharu dan lebih baik.

“Kita mahu mengambil risiko tetapi risiko-risiko ini mesti yang diperhitungkan. Ini adalah hala tuju Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Abang Johari berkata Sarawak kaya dengan sumber air daripada empat empangan berskala besar iaitu Empangan Hidroelektrik Batang Ai, Bakun, Baleh dan Murum yang berpotensi menghasilkan tenaga hidrogen menerusi proses elektrolisis.

Katanya menerusi proses elektrolisis hidrogen diasingkan daripada oksigen yang boleh menghasilkan tenaga bersih bagi menggerakkan apa sahaja yang memerlukan tenaga termasuk jentera berat.

Beliau berkata, bagi tujuan itu beliau telah mengarahkan Sarawak Energy Berhad (SEB) mencuba dan menilai sifat-sifat air di empat empangan hidroelektrik utama Sarawak untuk menghasilkan hidrogen.

Usaha itu katanya, merupakan hala tuju masa depan Kerajaan Sarawak jika Sarawak mahu mempunyai alam sekitar dan tenaga yang bersih serta lestari.

Menurutnya Sarawak kaya dengan pelbagai sumber semula jadi dan kaya biodiversiti tetapi ia perlu diurus dengan bijak serta seiring dengan teknologi sedia ada.

“Kerajaan Sarawak memerlukan orang seperti anda semua (peserta persidangan) untuk memberikan input yang betul dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi yang pastinya memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Revolusi keempat perindustrian bermakna, Sarawak memerlukan sumber manusia yang kreatif dan inovatif sebab itu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) diberi penekanan,” katanya.

Beliau menambah, STEM merupakan landasan untuk Kerajaan Negeri meningkatkan minat generasi muda Sarawak dalam bidang sains dan teknologi.

Bagaimanapun untuk berjaya dalam kedua-dua bidang itu, seseorang itu mesti mempunyai kesabaran tinggi dan mempunyai latar belakang yang sangat kukuh.

“Apabila kita bercakap mengenai pendigitalan, semuanya mengenai algoritma, ia mesti difahami terlebih dahulu baharulah rantaian blok dapat difahami dengan baik untuk mewujudkan rangkaian global.

“Saya berharap persidangan ini akan mewujudkan rantaian blok kejuruteraan dalam kalangan pakar-pakar.

“Oleh itu saya menunggu resolusi anda yang akan mengekalkan pembangunan sains dan kejuruteraan,” ujarnya.

Hadir sama Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Dekan Fakulti Kejuruteraan UNIMAS Profesor Dr Siti Noor Linda Taib dan pengerusi penganjur Persidangan Kejuruteraan STEM Antarabangsa UNIMAS 2018 Profesor Dr Andrew Ragai Henry Rigit.

 

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2018/09/13/sarawak-perlu-ambil-risiko-jika-mahu-maju-abang-johari

 
Attachment(s):
 
 
Demo